Wednesday 16 May 2012

GURU SEBAGAI PEMIMPIN

Yang kita maksudkan dengan kepimpinan ialah bagaimana seseorang itu berjaya diterima oleh orang lain untuk memimpin, dengan kelebihan yang ada padanya itu sehingga ianya dijadikan ketua yang boleh mempengaruhi orang yang dipimpinnya sehingga orang yang mengikutnya melakukan sesuatu mengikut arahan dan kehendaknya.
Rasulullah ialah pemimpin umat Islam dalam erti kata umat Islam mengakui Baginda sebagai Nabi, Rasul yang memimpin mereka di mana arahan dan perintah Baginda dipatuhi dan dihormati, golongan yang dipimpin oleh Baginda iaitu orang-orang yang mengakui kenabian dan kerasulan Baginda atau golongan mukmin. Matlamat daripada adanya kepimpinan Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam ini iaitu kepimpinan Islam ialah keredhaan Allah Subhanahu Wat’ala.
Secara umumnya pemimpin ialah seorang individu dalam sesuatu kumpulan yang diberi tanggungjawab mengarah dan menyelaraskan aktiviti-aktiviti untuk mencapai matlamat kumpulan. Sesetengah orang menganggap pemimpin itu seseorang yang agung dan mendorong pengikut untuk bekerja kuat, menghasilkan sesuatu yang agung dan orang yang membantu lebih daripada orang yang menaikkan semangat atau mengarah.
Walau apa pun pandangan, pada asasnya pemimpin adalah gabungan sebagai pengarah, pendorong dan pemikir.( Syed Ismail Bin syed Mustapa. Ahmad Subki Bim Miskon: 2010: m.s: 205 ). Pada abad ini, peranan guru sebagai pemimpin dalam pendidikan amat ketara kerana pengaruh mereka tidak terbatas di dalam bilik darjah sahaja. Mereka ingin menyumbang kepakaran mengajar kepada golongan pelajar yang lebih luas, diluar ruang lingkungan pelajar yang diajar oleh mereka. (Noriati A.Rashid, Boon Pong Ying, Wong Kiet Wah, 2010,M.s: 109 )
Seorang pemimpin seharusnya mempunyai pengikut. Pemimpin juga mempengaruhi pelakuan pekerja dengan pelbagai cara untuk mencapai matlamat. Manusia patut digalakkan untuk menanam kigigihan, keazaman dan keyakinan untuk bekerja. Pemimpin patut meletakkan diri di hadapan kumpulan sambil memajukan dan mengilhamkan ahli-ahli kumpulan untuk mencapai matlamat organisasi. ( Syed Ismail Bin syed Mustapa. Ahmad Subki Bim Miskon: 2010: m.s: 207 ).
Dalam teori kepimpinan Islam, pemimpin bukan hanya merupakan orang yang dipatuhi arahan dan perintah-Nya tetapi ianya juga merupakan orang yang diikut tingkah laku dan perbuatannya. Ini bermakna bukan setakat ‘qiadah’ atau pemimpin tetapi ianya juga merupakan ‘qudwah’ iaitu ikutan dan juga contoh tauladan iaitu ‘uswah’.
Ini jelas dinyatakan oleh Al-Quran dalam beberapa ayat dan hadith yang memerintahkan kita taat dan patuh untuk melaksanakan perintah dan arahan Baginda Rasulullah, tidak mencabul tegahan Baginda, lebih jauh daripada itu hendaklah kita menjadikan Baginda sebagai qudwan dan uswah hasanah.
Allah Subhanahu Wata’ala berfirman maksudnya:
Wahai orang-orang yang beriman, mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya. Amat besar kebenfiannya di sisi Allah Subhanahu Wat’ala, kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya ( Al-Saff, Ayat 2-3 )
Ayat ini dengan jelas dan tegas menyatakan bahawa perkataan hendaklah sesuai dengan perbuatan, perintah, sesuai dengan amalan orang yang mengeluarkan perintah tersebut. Pemimpin hendaklah yakin dan iltizam dengan arahan perintah-Nya, pertindihan di antara perkataan dengan tindakan hendaklah serasi. Sikap ‘double standard’ adalah dikutuk oleh Allah Subhanahu Wata’ala. Sikap seperti ini jika diamalkan akan menghancurkan kepercayaan terhadap kepimpinan.
Dalam ayat yang lain Allah Subhanahu Wata’ala berfirman maksudnya:
Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedangkan kamu lupa akan diri kamu sendiri, padahal kamu semua membaca kitab Allah Subhanahu Wata’ala tidaklah kamu berakal ( Al-Baqarah, ayat 44 ).
Selain apa yang telah disebutkan di atas, seseorang pemimpin itu hendaklah bersifat dengan sifat terpuji seperti sabar, tegas, berani, dedikasi, bertanggungjawab, berdisiplin, tawaduk, wara’, berilmu, berkeupayaan, amanah, adil, mengutamakan kepentingan orang yang dipimpin, jujur, ikhlas pemurah tetapi tidak boros sentiasa berusaha untuk mempertajamkan bakat pimpinannya, mengamalkan prinsip syura, senantiasa berfikir dan berusaha kearah yang lebih baik dan sempurna, tidak kasih kepada dunia, dan menjadikan keredhaan Allah Subhanahu Wata’ala sebagai matlamat kepimpinannya. Dalam masa yang sama hendaklah meninggalkan sifat-sifat yang negatif. ( Jejak-jejak: 2003: m.s.103 – 104 )

PROGRAM PENJAGAAN GIGI DI PERMATA

Program penjagaan awal kesihatan pergigian kanak-kanak akan dilaksanakan di semua Pusat Permata Negara di seluruh negara mulai tahun depan. Program yang akan dilaksanakan di 600 buah pusat membabitkan seramai 24,000 orang kanak-kanak itu bertujuan memastikan amalan kesihatan pergigian yang baik dipraktikkan di peringkat awal usia.
Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, program bertemakan 'Tidak Terlalu Awal' itu membabitkan usaha sama antara Kementerian Kesihatan dan Pusat Permata Negara. Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Penyelarasan Program Permata Negara berkata, program tersebut dimasukkan dalam kurikulum kesihatan Pusat Permata Negara yang akan diserapkan dalam silibus Kursus Asas Pengasuh Kanak-Kanak Permata.
"Aspek penjagaan gigi berkait rapat dengan pendidikan awal untuk menerapkan tabiat baik serta membentuk sikap positif kepada penjagaan kesihatan," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Program Penjagaan Awal Kesihatan Pergigian Kanak-Kanak Dalam Program Permata Negara, di sini hari ini.
Hadir sama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai. Rosmah turut merasakan idea menyerapkan program itu ke dalam Permata amat bertepatan kerana ia merupakan satu program asuhan dan pendidikan awal kanak-kanak yang holistik. Kajian epidemiologi kesihatan pergigian pada 2005 mendapati seramai 76.2 peratus kanak-kanak berumur lima tahun mengalami masalah karies gigi atau gigi berlubang. Kajian juga mendapati secara purata setiap seorang kanak-kanak mempunyai enam batang gigi berlubang.
Permasalahan itu, kata Rosmah, amat membimbangkan kerana ia mempunyai impak negatif seperti kesakitan yang turut mengganggu fungsi pemakanan dan menjejaskan pertumbuhan kanak-kanak secara keseluruhan. Ketika ini program penjagaan kesihatan pergigian kanak-kanak telah dilaksanakan di dua taska kerajaan iaitu Tadika Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dan Tadika Perpaduan.
Sementara itu, Tiong Lai dalam ucapannya berkata, melalui program tersebut, kaedah pencegahan dan mengenal pasti penyakit gigi di peringkat awal dapat dilakukan. "Para guru dan pengasuh taska merupakan golongan yang memainkan peranan penting dalam perkara ini, justeru penglibatan dan perkongsian tanggungjawab antara pengasuh dan pasukan pergigian memberi faedah besar kepada kanak-kanak," katanya

LAYANLAH KANAK-KANAK PENDIDIKAN KHAS SEPERTI KANAK-KANAK YANG LAIN

Kanak-kanak pendidikan khas bermasalah pembelajaran merupakan kanak-kanak istimewa yang telah dijanjikan oleh Allah untuk ditempatkan di syurga kerana keistimewaan dan kelainan upaya yang dimilikinya. Kebiasaannya ibu bapa, guru atau masyarakat yang berdepan dengan kanak-kanak ini seringkali berasa tidak selesa atau rimas dengan mereka kerana mereka seringkali menyusahkan ahli keluarga.
Seharusnya, apabila kita berdepan dengan fenomena manusia seperti ini, kita perlulah bersyukur kerana telah dijadikan oleh Allah sempurna dengan segala nikmat dan kudrat berbanding mereka. Kita juga hendaklah memberi dorongan kepada saudara, jiran, atau ahli keluarga yang berdepan dengan masalah ini, bukan mencemuh atau mencaci mereka. Berikan mereka sokongan, bimbingan, bersabar dengan kerenah mereka serta bertolak ansur selain bersikap positif dan redha.
Menyedari hakikat di mana ibu yang telah melahirkan anak, dan anak mereka adalah OKU. Pertama sekali, jangan sesekali panik atau rasa tertekan. Terima anak-anak dengan redha, berfikairan positif, bersabar dan kuatkan semangat. Tanamkan azam supaya anak yang dilahirkan tersebut berhak memiliki kasih sayang sama seperti anak normal yang lain. Jangan bersikap bias atau berat sebelah. Sepanjang kelahiran dan perkembangan anak tersebut, perhatikan komunikasi yang Berjaya anak anda kecapi. Sama ada anak tersebut mampu bertutur, berkomunikasi ataupun bersosial dengan masyarakat di sekeliling mereka dengan bijak.
Kadangkala, ibu bapa kurang menyedari yang anak mereka bermasalah di sekolah. Apabila mencapai umur 8 tahun, masih tidak boleh menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira. Ibu bapa perlu ke sekolah untuk mengenalpasti tahap anak mereka, dan ibu bapa perlulah meminta pendapat guru agar anak tersebut boleh dibimbing sewaktu di rumah.
Selain itu, ibu bapa juga boleh bertanya secara spontan kepada anak-anak. Contohnya, “ayah belikan Ayu 6 biji gula-gula, tetapi ayah telah makan sewaktu di dalam kereta sebanyak 2 biji. Berapa gula-gula yang tinggal untuk Ayu?” apabila anak masih tidak mampu mencongak dalam situasi ini, ibu bapa perlu bimbing anak mereka secara perlahan-lahan walaupun sedikit. Anak akan dapat mengaplikasikan pengalaman di rumah sewaktu mereka belajar di dalam kelas. Di sinilah berlakunya perkembangan mengira, begitu juga dengan kemahiran membaca dan menulis.
Kanak-kanak kurang upaya biasanya memiliki atau kurang keupayaan dalam menguruskan diri mereka terutama sekali apabila mereka hendak membersihkan diri, memakai pakaian, makan, berjalan dan sebagainya. Sebagai individu yang berhadapan denga kanak-kanak istimewa ini, luaskanlah hati menyediakan keperluan kanak-kanak ini. ibu bapa atau keluarga perlulah bertolak ansur dalam menyediakan keperluan kanak-kanak ini.
Bimbing mereka atau tunjuk ajar mereka perlahan-lahan dengan sanar agar mereka kelak akan mampu berdikari. Jika anak tersebut ‘membuang air’ di dalam rumah secara merata-rata, bersihkan dan beritahu anak-anak bahawa di mana tempat yang sepatutnya mereka ‘buang air’ iaitu di tandas. Ajar mereka bagaimana untuk memberitahu orang yang mereka perlu ke tandas. Jika mereka menunjukkan tanda-tanda untuk ke tandas, kita perlu bantu pergerakkan mereka. Begitu juga apabila mereka hendak mandi, makan atau menyarung pakaian.

Thursday 10 May 2012

PENGURUSAN PEMAKANAN PENTING UNTUK KEPERLUAN KANAK-KANAK

Bahagian Pengurusan dan Pemakanan adalah unit baru yang diwujudkan di bawah Penyusunan Semula struktur KEMAS pada awal tahun 2003. Tujuan penubuhan Bahagian ini adalah untuk memastikan keperluan Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan personel dapat dirancang dan dilaksanakan dengan lebih sempurna.
Bahagian ini juga bertanggungjawab untuk memastikan segala keperluan dan kemudahan alat-alat kelengkapan yang bersesuaian untuk Pendidikan Awal Kanak-Kanak. Pengwujudan Bahagian Pengurusan dan Pemakanan juga adalah untuk mempastikan program Makanan Tambahan kepada kanak-kanak TABIKA dan TASKA dapat berjalan dengan lancar dan betul dari segi kualiti, kuantiti dan jenis makanan yang ditetapkan.
Pentadbiran Pengurusan & Perjawatan berfungsi untuk memastikan pelaksanaan organisasi Bahagian berjalan lancar. Menyusun dan melaksanakan struktur organisasi Bahagian, menentukan agihan tugas pegawai dan kakitangan mengikut fungsi, menyediakan Laporan Tahunan Bahagian, menyelaras keperluan, pengambilan dan penempatan pegawai dan kakitangan Bahagian, mengurus penilaian prestasi tahunan dan urusan perkhidmatan pegawai dan kakitangan Bahagian dan merancang keperluan latihan dalam perkhidmatan dan kerjaya.
Pengurusan Dasar pula ditugaskan untuk merangka dan menyelaras dasar-dasar Bahagian selaras dengan dasar Pendidikan Pra-Sekolah, menguruskan bahagian kewangan, menyelaras keperluan peruntukan pengurusan, merangka dan mengenalpasti barangan perkhidmatan dan keperluan yang akan diperolehi, menyediakan spesifikasi, ciri, jenis dan kategori barangan perkhidmatan dan keperluan yang diperolehi, menyediakan anggaran kos bagi barangan perkhidmatan dan keperluan yang akan diperolehi, mengenalpasti sumber-sumber bekalan dan perkhidmatan dan keperluan yang diperlukan, menyediakan dan menyelaras agihan peruntukan pengurusan dan pembangunan mengikut negeri dan aktiviti projek.

PENGASUH PERLU MAHIR DALAM MEMBERI BANTUAN KECEMASAN KEPADA KANAK-KANAK

Pengasuh di pusat penjagaan kanak-kanak perlu memahirkan diri dengan aspek bantuan kecemasan agar mampu menjaga keselamatan golongan yang dijaga dan mengelak berlakunya kecelakaan. Rosmah Mansor beramah-mesra dengan sebahagian penonton program Apa Kata Wanita terbitan RTM1 di Wisma Angkasapuri, Kuala Lumpur.
Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, antara aspek yang perlu diberi perhatian adalah bantuan pemulihan pernafasan dan jantung (CPR) kerana ia mampu menyelamatkan nyawa seseorang. "Baru-baru ini saya terbaca di akhbar mengenai kejadian kanak-kanak meninggal dunia akibat tercekik susu. Kita tidak mahu ia berlaku lagi," katanya ketika ditemubual dalam program Apa Kata Wanita terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) di Angkasapuri hari ini.
Katanya, selain pengasuh di pusat jagaan, ibu bapa dan guru juga perlu melengkapkan diri dengan kemahiran berkenaan untuk keselamatan orang di sekeliling mereka. Sementara itu beliau berkata, kanak-kanak yang berusia empat tahun ke bawah perlu diberi perhatian yang sewajarnya kerana peringkat umur tersebut penting dalam membentuk minda anak-anak.
Perkara ini harus dipandang serius kerana kita bukan sahaja mahu menumpukan kepada pembangunan negara malah kepada pembangunan modal insan. Menurut Rosmah, ibu bapa perlu memberi perhatian yang sewajarnya kepada anak-anak supaya nasib mereka tidak terabai.
Terdapat kes di luar negara di mana kanak-kanak mengalami tekanan perasaan dan membunuh diri kerana ibu bapa terlalu mengejar kebendaan sehingga lupa kepada anak-anak. Kita perlu pandang serius isu ini kerana tidak mahu ia berlaku di negara ini.
Sementara itu, Rosmah yang merupakan Penaung Program Permata Negara memberitahu, sebanyak 600 pusat Permata ditubuhkan di negara ini yang diharap dapat membantu ibu bapa berpendapatan rendah mendapatkan pendidikan yang sempurna buat anak-anak mereka.
Objektif utama ditubuhkan pusat ini adalah untuk memberi pendidikan secara menyeluruh kepada kanak-kanak dari keluarga berpendapatan rendah dan ia mendapat reaksi positif daripada ibu bapa. Di pusat tersebut, kanak-kanak dapat belajar mengenai Sains dan Matematik dalam persekitaran yang kondusif serta sesuai untuk pembelajaran mereka.

BERI ANAK-ANAK PENDIDIKAN AWAL

Ibu bapa perlulah memberi penekanan terhadap kepentingan peranan pendidikan awal anak-anak dalam usaha menyediakan mereka untuk memasuki pendidikan formal kelak. Menurut Menteri di Pejabat Ketua Menteri Sarawak, Datin Fatimah Abdullah berkata, kanak-kanak berusia antara empat hingga lima tahun mempunyai sikap ingin tahu yang tinggi dan mahu menerokai perkara baru.
Kanak-kanak pada tahap ini sentiasa mahu tahu dan teruja dengan perkara baru malah mereka juga mudah menerima dan meniru apa yang dilakukan orang dewasa. Justeru kita perlu membimbing dan mendidik mereka dengan sewajarnya kerana proses pembelajaran perlu dimulakan ketika ini," katanya sewaktu melawat kelas Tabika Perpaduan Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) Bandar Baru Permyjaya.
Sehubungan itu, Fatimah yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Pendidikan Awal Kanak-Kanak (MPPAK) berkata, ibu bapa harus menyediakan persekitaran kondusif bagi membolehkan anak-anak mereka melalui proses pembelajaran yang sempurna. Dalam erti kata lain katanya, segala apa yang dilihat dan didengari oleh seorang kanak-kanak dari persekitarannya merupakan satu pendidikan bagi mereka.
Justeru kanak-kanak perlu dibentuk dan dididik sejak dari awal lagi dan di sinilah ibu bapa dan guru-guru tadika memainkan peranan dalam mencorak masa depan mereka. Sementara itu, Tabika RPR Bandar Baru Permyjaya terletak di salah sebuah skim perumahan yang terbesar di Sarawak dengan menempatkan kira-kira 360 kanak-kanak.
Tabika tersebut mengendalikan 11 bilik kelas yang beroperasi dengan sepuluh daripadanya beroperasi pada sebelah pagi manakala satu lagi pada sebelah petang.

KANAK-KANAK BERUSIA 3 TAHUN MAMPU MENGHAFAZ AL-QURAN

Darwish Adrian yang berusia 3 tahun 9 bulan menerima Sijil Hafazan 30 Surah Terakhir dari Pengetua Akademi Darul Huffaz, Al-Fadhil Ustaz Lokman Shazly Al-Hafiz Al-Maulawi Bin Dato Seri Zaharin. Kakaknya, Darwisya Adrianna juga menerima Sijil yang sama dari Akademi yang sama pada umur 3 tahun 2 bulan. Alhamdulillah, kedua-dua kanak-kanak ini menerimanya pada usia muda mereka. Saya percaya semua kanak-kanak boleh melakukannya jika ibubapa punyai usaha mendedahkan mereka dengan al Quran lebih awal.
TV9 telah menjemput kanak-kanak ini untuk merakamkan hafazan kedua-duanya dalam satu program mereka yang akan di buat ala-ala tom-tom bak dengan pengacaranya adalah seorang penceramah agama yang terkenal iaitu Dato' Abu Hassan Din Al Hafiz. Kita selalu tengok Dato' ini kalau bercakap mesti sentuh topik yang serius, tapi kali ni dia bersedia untuk 'tone down' sikit. akan bergurau senda dengan kanak-kanak, berlakon dan sebagainya. Dengar khabar baju-bajunya pun dah dipilih ikut tema moden. Sekadar memaklumkan, kanak-kanak ini cuma dalam bahagian membuat persembahan dan bukannya antara kanak-kanak  yang  konsisten berada di dalam setiap episod tu. Mereka minta supaya kanak-kanak ini menjadi pelakon yang duduk sekali jadi cucu atuk supaya ada kesinambungan selepas buat persembahan tu Yang di confirmkan setakat ini, ada 9 slot kesemuanya rakaman mereka. Dan ada pula tarikh rakaman yang bertembung dengan kursus untuk ibu mereka dalam 'Kaedah Mengajar Al Quran pada Bayi dan Kanak-Kanak'.
Berbalik kepada mengajar anak, ada banyak trial and error yang telah gunakan. Ada perkara yang dirasakan perlu supaya dapat dijadikan pengajaran untuk semua ibubapa dalam mendidik anak-anak. Iaitu, kita jangan ingat anak kita yang keluar dari rahim yang sama, duduk di dalam rumah yang sama, diajar benda yang sama, makan yang sama dan sebagainya akan mempunyai perangai, kelakuan dan cara belajar  yang sama. Tidak sama sekali.
Kedua dua kanak-kanak ini mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing. Jika di lihat dari mata kasar sememang Darwish lambat dari Darwisya tetapi yang sangat menarik tentang Darwish adalah setiap kali dia mengaji dia akan duduk bersila seperti seorang penuntut yang baik yang sedang mengadap tuan gurunya. Sedangkan Darwisya gayanya adalah agak lebih santai. Walaupun ibunya tidak pernah menetapkan jika mahu mengaji mahu duduk gaya seperti mana, tetapi ibunya sentiasa memerhatikan keduanya dengan penuh minat. Apapun ibunya berharap agar ibu bapa di luar sana jangan jadikan anak pertama sebagai batu ukur untuk pencapaian anak kedua. Ada ramai ibu bapa yang selalunya membandingkan antara anak-anak mereka dan yang lebih teruk lagi membandingkan anak mereka dengan anak orang lain. Itulah yang akan membuat kita stress semasa mengajar dan seterusnya anak kita juga akan merasai bahang stress tersebut. Itulah yang menghalang kreativiti kita dalam mengajar mereka. Kanak-kanak jika terlalu dipaksa nanti tidak suka mengaji pula. Dari mengharap danmengimpikan anak kita melakukan perkara yang diluar kemampuannya, elok kita slow n steady je.
Itu perbezaan dari segi pencapaian belajar mengaji, dalam perkara lain juga mereka banyak bezanya. Jika disekolah pula (Modern Arabic International School) Darwish kelihatan unfriendly. Setiap pagi bila masuk kelas, oleh kerana free seating, dia akan mencari tempat yang tiada orang, dan kawan-kawan Arabnya yang akan mendekatinya untuk duduk bersamanya. Darwisya pula adalah sebaliknya. Dia pula suka mencari kawan arab favouritenya dalam memilih tempat duduk.  Walaupun begitu Darwish lebih ramai 'peminat'. Bila ibunya mahu membawanya pulang, selalunya akan riuh rendahlah satu kelas yang hampir kesemua kawan berbangsa Arabnya itu melambainya dan ada yang memegang tangan ibunya tidak mahu membenarkan dia diambil pulang, tetapi bila ibunya mengambil Darwisya pula, keadaan kelihatan normal atau kelihatan seperti yang sepatutnya. Itulah sebahagian perbezaan antara kedua kanak-kanak.
Kesimpulan yang saya ingin sampaikan kepada ibubapa diluar sana, terima kekurangan dan kelebihan anak kita seadanya dan jangan membandingkan antara mereka. Disiplin tetap perlu ada pada diri kita. Maksudnya, jika kita sendiri tidak disiplinkan diri kita sendiri dalam mengajar mereka setiap hari, mana mungkin mereka boleh belajar dengan sendirinya Mereka juga seperti kanak-kanak lain. Setiap petang jika tidak hujan, pasti bermain diluar rumah atau di padang permainan kanak-kanak. Bila di rumah pula aktiviti mereka tidak terhad. Bermacam-macam aktiviti mereka mengikut apa yang mereka suka termasuklah menonton TV dan bermain game.
Tentang aktiviti riadah mereka, ibunya sangat mengimpikan kanak-kanak ini mahir berenang dalam sekurang-kurangnya 2 gaya renang. Bukan nak masuk sukan olimpik atau sukan sea tetapi kerana banyak kelebihannya jika mereka pandai berenang. Kita sudah lama tahu akan hadis  '“Ajarlah anak-anak kamu berkuda, berenang dan memanah” (Riwayat Bukhari dan Muslim).