Thursday, 10 May 2012

BERI ANAK-ANAK PENDIDIKAN AWAL

Ibu bapa perlulah memberi penekanan terhadap kepentingan peranan pendidikan awal anak-anak dalam usaha menyediakan mereka untuk memasuki pendidikan formal kelak. Menurut Menteri di Pejabat Ketua Menteri Sarawak, Datin Fatimah Abdullah berkata, kanak-kanak berusia antara empat hingga lima tahun mempunyai sikap ingin tahu yang tinggi dan mahu menerokai perkara baru.
Kanak-kanak pada tahap ini sentiasa mahu tahu dan teruja dengan perkara baru malah mereka juga mudah menerima dan meniru apa yang dilakukan orang dewasa. Justeru kita perlu membimbing dan mendidik mereka dengan sewajarnya kerana proses pembelajaran perlu dimulakan ketika ini," katanya sewaktu melawat kelas Tabika Perpaduan Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) Bandar Baru Permyjaya.
Sehubungan itu, Fatimah yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Pendidikan Awal Kanak-Kanak (MPPAK) berkata, ibu bapa harus menyediakan persekitaran kondusif bagi membolehkan anak-anak mereka melalui proses pembelajaran yang sempurna. Dalam erti kata lain katanya, segala apa yang dilihat dan didengari oleh seorang kanak-kanak dari persekitarannya merupakan satu pendidikan bagi mereka.
Justeru kanak-kanak perlu dibentuk dan dididik sejak dari awal lagi dan di sinilah ibu bapa dan guru-guru tadika memainkan peranan dalam mencorak masa depan mereka. Sementara itu, Tabika RPR Bandar Baru Permyjaya terletak di salah sebuah skim perumahan yang terbesar di Sarawak dengan menempatkan kira-kira 360 kanak-kanak.
Tabika tersebut mengendalikan 11 bilik kelas yang beroperasi dengan sepuluh daripadanya beroperasi pada sebelah pagi manakala satu lagi pada sebelah petang.

No comments:

Post a Comment