Wednesday, 16 May 2012

LAYANLAH KANAK-KANAK PENDIDIKAN KHAS SEPERTI KANAK-KANAK YANG LAIN

Kanak-kanak pendidikan khas bermasalah pembelajaran merupakan kanak-kanak istimewa yang telah dijanjikan oleh Allah untuk ditempatkan di syurga kerana keistimewaan dan kelainan upaya yang dimilikinya. Kebiasaannya ibu bapa, guru atau masyarakat yang berdepan dengan kanak-kanak ini seringkali berasa tidak selesa atau rimas dengan mereka kerana mereka seringkali menyusahkan ahli keluarga.
Seharusnya, apabila kita berdepan dengan fenomena manusia seperti ini, kita perlulah bersyukur kerana telah dijadikan oleh Allah sempurna dengan segala nikmat dan kudrat berbanding mereka. Kita juga hendaklah memberi dorongan kepada saudara, jiran, atau ahli keluarga yang berdepan dengan masalah ini, bukan mencemuh atau mencaci mereka. Berikan mereka sokongan, bimbingan, bersabar dengan kerenah mereka serta bertolak ansur selain bersikap positif dan redha.
Menyedari hakikat di mana ibu yang telah melahirkan anak, dan anak mereka adalah OKU. Pertama sekali, jangan sesekali panik atau rasa tertekan. Terima anak-anak dengan redha, berfikairan positif, bersabar dan kuatkan semangat. Tanamkan azam supaya anak yang dilahirkan tersebut berhak memiliki kasih sayang sama seperti anak normal yang lain. Jangan bersikap bias atau berat sebelah. Sepanjang kelahiran dan perkembangan anak tersebut, perhatikan komunikasi yang Berjaya anak anda kecapi. Sama ada anak tersebut mampu bertutur, berkomunikasi ataupun bersosial dengan masyarakat di sekeliling mereka dengan bijak.
Kadangkala, ibu bapa kurang menyedari yang anak mereka bermasalah di sekolah. Apabila mencapai umur 8 tahun, masih tidak boleh menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira. Ibu bapa perlu ke sekolah untuk mengenalpasti tahap anak mereka, dan ibu bapa perlulah meminta pendapat guru agar anak tersebut boleh dibimbing sewaktu di rumah.
Selain itu, ibu bapa juga boleh bertanya secara spontan kepada anak-anak. Contohnya, “ayah belikan Ayu 6 biji gula-gula, tetapi ayah telah makan sewaktu di dalam kereta sebanyak 2 biji. Berapa gula-gula yang tinggal untuk Ayu?” apabila anak masih tidak mampu mencongak dalam situasi ini, ibu bapa perlu bimbing anak mereka secara perlahan-lahan walaupun sedikit. Anak akan dapat mengaplikasikan pengalaman di rumah sewaktu mereka belajar di dalam kelas. Di sinilah berlakunya perkembangan mengira, begitu juga dengan kemahiran membaca dan menulis.
Kanak-kanak kurang upaya biasanya memiliki atau kurang keupayaan dalam menguruskan diri mereka terutama sekali apabila mereka hendak membersihkan diri, memakai pakaian, makan, berjalan dan sebagainya. Sebagai individu yang berhadapan denga kanak-kanak istimewa ini, luaskanlah hati menyediakan keperluan kanak-kanak ini. ibu bapa atau keluarga perlulah bertolak ansur dalam menyediakan keperluan kanak-kanak ini.
Bimbing mereka atau tunjuk ajar mereka perlahan-lahan dengan sanar agar mereka kelak akan mampu berdikari. Jika anak tersebut ‘membuang air’ di dalam rumah secara merata-rata, bersihkan dan beritahu anak-anak bahawa di mana tempat yang sepatutnya mereka ‘buang air’ iaitu di tandas. Ajar mereka bagaimana untuk memberitahu orang yang mereka perlu ke tandas. Jika mereka menunjukkan tanda-tanda untuk ke tandas, kita perlu bantu pergerakkan mereka. Begitu juga apabila mereka hendak mandi, makan atau menyarung pakaian.

No comments:

Post a Comment