Thursday 10 May 2012

PENGASUH PERLU MAHIR DALAM MEMBERI BANTUAN KECEMASAN KEPADA KANAK-KANAK

Pengasuh di pusat penjagaan kanak-kanak perlu memahirkan diri dengan aspek bantuan kecemasan agar mampu menjaga keselamatan golongan yang dijaga dan mengelak berlakunya kecelakaan. Rosmah Mansor beramah-mesra dengan sebahagian penonton program Apa Kata Wanita terbitan RTM1 di Wisma Angkasapuri, Kuala Lumpur.
Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, antara aspek yang perlu diberi perhatian adalah bantuan pemulihan pernafasan dan jantung (CPR) kerana ia mampu menyelamatkan nyawa seseorang. "Baru-baru ini saya terbaca di akhbar mengenai kejadian kanak-kanak meninggal dunia akibat tercekik susu. Kita tidak mahu ia berlaku lagi," katanya ketika ditemubual dalam program Apa Kata Wanita terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) di Angkasapuri hari ini.
Katanya, selain pengasuh di pusat jagaan, ibu bapa dan guru juga perlu melengkapkan diri dengan kemahiran berkenaan untuk keselamatan orang di sekeliling mereka. Sementara itu beliau berkata, kanak-kanak yang berusia empat tahun ke bawah perlu diberi perhatian yang sewajarnya kerana peringkat umur tersebut penting dalam membentuk minda anak-anak.
Perkara ini harus dipandang serius kerana kita bukan sahaja mahu menumpukan kepada pembangunan negara malah kepada pembangunan modal insan. Menurut Rosmah, ibu bapa perlu memberi perhatian yang sewajarnya kepada anak-anak supaya nasib mereka tidak terabai.
Terdapat kes di luar negara di mana kanak-kanak mengalami tekanan perasaan dan membunuh diri kerana ibu bapa terlalu mengejar kebendaan sehingga lupa kepada anak-anak. Kita perlu pandang serius isu ini kerana tidak mahu ia berlaku di negara ini.
Sementara itu, Rosmah yang merupakan Penaung Program Permata Negara memberitahu, sebanyak 600 pusat Permata ditubuhkan di negara ini yang diharap dapat membantu ibu bapa berpendapatan rendah mendapatkan pendidikan yang sempurna buat anak-anak mereka.
Objektif utama ditubuhkan pusat ini adalah untuk memberi pendidikan secara menyeluruh kepada kanak-kanak dari keluarga berpendapatan rendah dan ia mendapat reaksi positif daripada ibu bapa. Di pusat tersebut, kanak-kanak dapat belajar mengenai Sains dan Matematik dalam persekitaran yang kondusif serta sesuai untuk pembelajaran mereka.

No comments:

Post a Comment