Baru-baru ini, saya ada terbaca sebuah artikel di dalam sebuah majalah Wanita. Ia berkaitan dengan kempen keselamatan gadis yang dipromosikan dalam majalah Bintang Kecil. Kempen ini bertajuk ‘KATAKAN JANGAN SENTUH SAYA’. Majalah Bintang Kecil, kini bergerak ke arah memantapkan imejnya dengan menampilkan elemen baru yang menjurus ke arah tanggungjawab sosial dalam pengisian dan programnya.
Majalah yang memiliki pengaruh tersendiri dalam kalangan penggemarnya yang terdiri daripada gadis sunti sekitar usia 7 hingga 13 tahun, itu mahu menggunakan platform populariti majalah bagi menyampaikan mesej tentang pentingnya aspek keselamatan diri gadis diberi perhatian.
Mengambil langkah pertama, Bintang Kecil kini memulakan kempen KATAKAN ‘JANGAN SENTUH SAYA’, yang bertujuan memberi kesedaran kepada kepada para gadis tentang pentingnya melindungi diri mereka daripada bahaya gangguan seksual.
“Terbukti persekitaran yang mereka berada sudah tidak menjamin keselamatan. Kanak-kanak dan gadis sunti ini bukan sahaja diperlakukan secara tidak senonoh oleh orang ‘asing’ malahan oleh orang yang mereka kenali rapat,” kata editor Bintang Kecil, Nor Iliana Abd Halim atau lebih suka dikenali sebagai Nana.
Mengambil contoh kes-kes yang dilakukan oleh bapa kandung, abang kandung, ayah tiri, bapa saudara, dan kenalan lelaki terhadap mangsa, pihaknya yakin Bintang Kecil boleh memainkan perann secara mendidik dengan menampilkan panduan melindungi keselamatan diri menerusi paparan khas yang diwujudkan untuk tujuan itu.
“Kami mahu mengambil pendekatan ‘mencegah lebih baik daripada mengubati’. Kolum baru berbentuk motivasi santai ini akan muncul setiap keluaran. Ia akan mengkhusus kepada panduan tentang bagaimana pembaca muda Bintang Kecil ini dapat mengawasi keselamatan diri dalam pelbagai situasi.
Bermula dengan tip-tip menghidu bahaya, kawalan keselamatan diri, keutamaan menyayangi diri sendiri sehingga kepada cara-cara mendedahkan perbuatan tidak bermoral yang dialami kepada ibu bapa dan pihak-pihak yang berwajib, semuanya akan diperincikan dalam majalah Bintang Kecil,” jelas Nana.
Bintang Kecil menjangkakan ibu bapa akan turut memiliki kesedaran ke arah hal tersebut dengan menggalakkan anak-anak gadis mereka membeli Bintang Kecil setiap keluaran. Kempen Ini juga akan dibawa ke setiap aktiviti majalah yang bakal dilaksanakan sepanjang tahun ini. Program ini juga akan memdapat sokongan siaran daripada pelbagai majalah dan akhbar Sinar Harian, kesemuanya terbitan Kumpulan Media Karangkraf (KMK).
Bagi pendapat saya, idea yang telah digunakan oleh majalah Bintang Kecil amat bernas. Dewasa kini, dapat kita lihat kes rogol, culik dan bunuh kanak-kanak semakin berleluasa tanpa dapat dibendung. Oleh itu, dengan adanya kempen seperti ini, ibu bapa dan masyarakat akan lebih berwaspada dalam mengurus anak-anak mereka. Majalah Bintang kecil juga boleh dijadikan panduan untuk kanak-kanak supaya lebih berwaspada dengan orang yang tidak dikenali dan orang yang berniat jahat terhadap mereka.
Semua pihak tidak haruslah memandang enteng terhadap kes yang sedang berleluasa kini. Kita hendaklah berganding bahu untuk membanteras gejala yang tidak bermoral ini.
No comments:
Post a Comment